Menteri Agama Wajar Sokong Kempen Produk Muslim

sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama, Mujahid sepatutnya memahami dan menyokong inisiatif berkenaan supaya ekonomi umat Islam dan juga negara bertambah baik dari semasa ke semasa


.

Mujahid patut faham, sokong kempen beli produk muslim



BANGI, 7 Muharram 1441H, Sabtu – Kempen membeli produk keluaran muslim adalah langkah efektif dan seruan positif yang sepatutnya difahami semua pihak, khususnya menteri dalam usaha membangunkan ekonomi umat Islam di negara ini.

Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, keadaan ekonomi negara, khususnya umat Islam hari ini dilihat tidak bertambah baik di bawah pentadbiran Kabinet Pakatan Harapan (PH).

Bahkan katanya, keadaan itu dilihat semakin meruncing apabila Menteri Pembangunan Usahawan mengumumkan tiada lagi konvensyen usahawan Bumiputera diadakan, di mana majoritinya disertai orang Islam.

“Menginsafi keadaan ini maka umat Islam di Malaysia bertindak untuk saling membantu satu sama lain dengan membangunkan ekonomi sesama sendiri.

“Langkah efektif adalah dengan menyokong seruan mengutamakan produk Muslim. Seruan ini adalah seruan positif dan sepatutnya difahami sedemikian,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa yang mempertikaikan usaha kempen berkenaan.

Semalam, menteri agama kerajaan PH itu dilaporkan berkata, Islam tidak mengajar umatnya memilih produk berdasarkan bangsa dan kaum tertentu, sebaliknya menekankan kepentingan membeli barangan halal serta bersih.

Menyelar kenyataan Mujahid itu, Iqbal berkata, respon yang diberikan Mujahid menunjukkan beliau tidak memahami asas kempen berkenaan, yang menggesa mengutamakan produk muslim dahulu.

“Masyarakat muslim di Malaysia mulai sedar keperluan untuk mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri dengan cara mengambil tindakan yang selari dengan syariat dan saling menyokong satu sama lain.

“Allah SWT telah memerintahkan hamba-hambaNya untuk berusaha membaiki keadaan diri mereka, seperti dalam surah Ar-Ra’d ayat 11,” katanya.

Beliau berkata, sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama, Mujahid sepatutnya memahami dan menyokong inisiatif berkenaan supaya ekonomi umat Islam dan juga negara bertambah baik dari semasa ke semasa.

“Jangan pula beliau terpengaruh dengan komen-komen negatif daripada rakan sekabinet beliau yang mentohmah kempen boikot produk bukan muslim yang sedang berlaku sekarang, bukannya kempen beli produk muslim dahulu,” katanya.

Sebelum Mujahid, beberapa lagi pemimpin PH dan Kabinet sudah mengeluarkan kenyataan yang tidak menyokong kempen berkenaan, kononnya atas alasan perpaduan dan kestabilan ekonomi negara.

Biarpun usaha itu gagal mendapat sokongan Kabinet, namun kempen berkenaan mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Islam, malah sudah mula memberikan impak positif kepada perniagaan muslim.

.